Persaingan dalam Perniagaan

Dalam apa jua perniagaan pasti ada persaingan Sekiranya tiada persaingan pada permulaan, lambat laun akan muncul para pesaing itu. Apabila perniagaan anda meningkat maju, sudah pasti ada pesaing yang akan memasuki pasaran anda.
  Apa yang akan berlaku jika tiada pesaing? Mungkin perniagaan anda tidak akan maju tanpa mereka. Pasaran untuk apa jua perniagaan amat luas sekiranya anda betul-betul meneliti sasaran pasaran anda. Bukan bermaksud apabila ada pesaing, keuntungan perniagaan anda akan menurun.
  Ia mungkin bermaksud, apabila ada pesaing, industri anda akan menjadi semakin maju dan kompetitif. Ini akan meluaskan lagi pasaran untuk semua peniaga.
  Di samping itu, tidak kira apa yang anda lakukan, anda tidak akan dapat 100% daripada semua pasaran menjadi pelanggan anda. Sudah pasti ada yang tidak akan membeli daripada anda dan mencari alternatif lain.

Siapa Pesaing Anda?
  Sebagai peniaga anda perlu benar-enar memahami dan menggenali pesaing anda. Anda perlu mengetahui siapa sebenarnya pesaing yang paling mencabar.
  Cuba fikirkan adakah McDonalds, KFC, Pizza Hut. dan A&W merupakan pesaing? Jika kesemua itu bukan pesaing, adakah kewujudan industri "fast food" sesuatu yang menguntungkan. Ya, lagi besar industri makanan segera, lagi banyak keuntungannya. Inilah sebabnya permintaan industri makanan segera bertambah secara keseluruhannya.
  Bayangkan pula dunia ini sekiranya tiada restoran-restoran makanan segera langsung, cuma yang ada McDonalds. Adakah ini akan mewujudkan kesedaran industri tersebut menambahbaikan? Sudah pasti McDonalds juga tidak dapat tersebar luas di seluruh dunia.
  Oleh yang demikian siapa sebenarnya pesaing anda? Soalan ini adalah penting untuk mengatur strategi pemasaran anda bagi mendapat keuntungan yang tinggi. Pelbagai cara untuk mengenal pesaing anda, antaranya anda boleh dapati daripada:
  • Direktori perniagaan tempatan.
  • Dewan perniagaan tempatan.
  • Iklan.
  • Laporan Akhbar.
  • Pameran perniagaan/perdagangan.
  • Carian di internet.
  • Maklumat daripada pengguna.
  • Risalah dan bahan pemasaran.
  • Produk yang sama dengan produk anda.
  • Menyamar sebagai pengguna.
Pesaing yang memburukkan?
  Dunia perniagaan bermacam-macam ragam. Apa yang patut anda lakukan sekiranya pesaing anda cuba memburuk-burukkan dan menjatuhkan perniagaan anda?
  Anda harus sedar amalan memburukkan perniagaan pesaing sebenarnya boleh memburukkan perniagaannya sendiri. Pihak yang memburukkan sesuatu perniagaan, 10 orang lain akan memburukkan perniagaannya.
   Memburukkan perniagaan pesaing akan menjejaskan perniagaan sendiri kerana kredibiliti perniagaan sudah tercalar akibat tindakan tersebut. Pelanggan juga  akan hilang kepercayaan terhadap perniagaan kita.
  Dalam keadaan zaman pengguna kini yang sudah bijak dan berilmu, peniaga tidak harus melakukan kesilapan. Antara kesilapan besar peniaga adalah apabila mereka menggunakan teknik "memburukkan pesaing", kerana lambat laun teknik kotor ini dapat dikesan oleh pengguna.

Bagaimana menangani pesaing yang memburukkan anda?
  Sekiranya ha ini berlaku kepada anda:
  • Jangan sesekali membalas dengan memburukkan perniagaan pesaing kembali.
  • Anda perlu jelaskan kepada pengguna segala manfaat, kelebihan dan kekuatan yang ada pada perniagaan anda dengan meningkatkan cara promosi yang lebih berkesan.
  • Tambahkan ilmu dan kekuatan perniagaan sendiri sehingga amat sukar untuk pesaing menyaingi anda.
  • Tingkatkan ilmu perniagaan anda  untuk mendapat lebih ramai pelanggan dan pasaran yang lebih luas. Ini akan meningkatkan prestasi dan keuntungan perniagaan anda.
  • Tidak perlu bergaduh atau berlawan dengan pesaing anda kerana perbuatan tersebut hanya akan membuang masa dan tiada siapa yang akan menang bak kata pepatah, "yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu."
Ilmu sebagai perisai.
  Memandangkan tujuan utama pesaing memburukkan anda untuk menjatuhkan anda dan menaikkan nama mereka, maka anda perlu bersedia dalam pelbagai aspek terutamanya ilmu perniagaan. Dengan ilmu anda boleh melepasi semua pesaing anda walaupun mereka menggunakan teknik yang tidak baik.
  Cuba fikirkan sekiranya penjual burger kecil-kecilan ingin memburukkan McDonalds, adakah ia akan dapat menjatuhkan kredibiliti McDonalds? Adakah ia akan menganggu keuntungan McDonalds? Adakah McDonalds akan membalas balik dan memburukkan gerai burger tersebut? Sudah tentu tidak!
  Oleh sebab itu lengkapkan ilmu perniagaan anda sehingga jurang perniagaan anda dan pesaing anda menjadi seperti McDonalds dan gerai buger kecil. Apabila pesaing anda telah jatuh kebelakang, tindakan mereka memburukkan anda tidak akan berkesan.

irfan khairi,
dari majalah solusi.